fbpx

Mahkamah: Fadzlette diasak pendakwaan kredibiliti Mazlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai kanan tentera diasak bertubi-tubi oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung keterangannya yang menyentuh kredibiliti bekas Setiausaha Eksekutif Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican, 60, turut ditanya secara bertalu-talu berkaitan bidang tugasnya sebagai Setiausaha Akhbar Ahmad Zahid ketika berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Fadzlette mendakwa, Mazlina melakukan kesalahan engkar perintah (insurbodination) melebihi 10 kali namun tiada aduan dibuat terhadapnya dan hanya dimaklumkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Perdana Menteri.

Saksi pembelaan kedua itu kemudian bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran bahawa tiada tindakan dikenakan terhadap Mazlina di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.

Raja Rozela: “Jika tiada tindakan dan memandangkan Datuk dan Mazlina tertakluk di bawah akta, kesalahan engkar perintah sebenarnya tidak pernah dilakukan?”
Fadzlette: “Tak setuju.”

Raja Rozela: “Tugas hakiki Datuk di KDN sebagai Setiausaha Akhbar sahaja?”
Fadzlette: “Betul.”

Raja Rozela: “Setiausaha Akhbar buat apa?”
Fadzlette: “Sediakan teks ucapan, buat jemputan rasmi, pantau media dan lengkapkan kenyataan Datuk Seri kepada media.”

Raja Rozela: “Di KDN, Mazlina Setiausaha Eksekutif menteri dan TPM, jadi tugasnya tiada kaitan langsung dengan ketenteraan. Datuk setuju?”
Fadzlette: “Tak setuju.”

Pada sesi pemeriksaan utama sebelum itu, Fadzlette yang kini Pengarah Media Presiden UMNO menggambarkan Mazlina sebagai seorang individu yang tidak memperdulikan arahan pegawai atasan meskipun perkara itu berkaitan tugas rasmi.

Ujarnya, Mazlina juga tidak menghormati beliau sewaktu bertugas di KDN kerana beranggapan hanya Ahmad Zahid berhak mengeluarkan arahan kepadanya.

Menjawab soalan Raja Rozela, Fadzlette berkata, di antara tahun 2011 dan 2018, beliau tidak mengenali Mazlina secara peribadi dan tidak mengambil tahu tugas-tugas hakiki pegawai tersebut di KDN ketika itu.

Saksi pembelaan kedua itu turut menyatakan beliau tidak pasti sama ada Ahmad Zahid sendiri mengarahkan Mazlina menguruskan kewangan peribadi beliau termasuk urusan pembayaran bil kad kredit dan insurans kereta.

Raja Rozela: “Sebagai Setiausaha Akhbar, Datuk tiada bidang kuasa meminta penyata kad kredit dan cek daripada Mazlina?
Fadzlette: “Tidak setuju.”

Raja Rozela: “Datuk tahu atau tidak, Datuk Seri Zahid sendiri memberi kebenaran kepada Mazlina untuk menggunakan cop tanda tangan?
Fadzlette: “Tidak tahu.”

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI