KEHADIRAN aktres Jeon So-min sebagai seorang daripada anggota Running Man yang baharu sebenarnya tidak diraikan secara positif oleh semua peminat rancangan popular tersebut.
Dia kerap menjadi mangsa kecaman dan kebencian netizen kerana didakwa sering bersikap terlalu mencuba.
Atas sebab itu juga, ada peminat yang perasan, So-min sering berada dalam situasi terpuruk gara-gara menjadi mangsa kecaman sekali gus membuatkan kesihatannya terjejas.
Bahkan, tahun lalu pelakon itu berdepan penyakit yang teruk sehingga membuatkan dia terfikir tentang makna bahagia dalam hidup.
“Saya banyak berfikir tentang kebahagiaan sejak kebelakangan ini. Saya sangat sakit tahun lalu. Selepas sembuh, saya terfikir, apakah perkara yang buatkan hidup kita bahagia,” luahnya.
So-min juga mengakui, suka bekerja dan menyibukkan diri tetapi akibat terlalu penat, dia langsung tidak dapat mengekspresikan sebarang emosi.
“Jadi saya selalu minum (minuman keras) bersama Choi Jung-won. Saya minum sebab rasa terseksa,” katanya lagi.