fbpx

Jawatankuasa khas dibentuk urus isu mangsa penipuan kerja luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Latiff.

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju membentuk satu jawatankuasa khas sebagai usaha menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, jawatankuasa itu akan disertai pelbagai agensi dengan diketuai oleh Kementerian Luar.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini telah membincangkan dengan terperinci isu ramai rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran sindiket penipuan kerja.

“Isu ini telah dipandang secara serius dan kerajaan amat prihatin dengan nasib keluarga mereka serta keadaan mangsa di beberapa negara,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Semalam, Abdul Latiff yang memangku tugas Menteri Luar pada sidang akhbar memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu isu itu diuruskan dengan segera.

Ia susulan memorandum diserahkan beberapa badan bukan kerajaan yang mendesak campur tangan bagi membebaskan mangsa setelah terjerat tawaran kerja palsu di beberapa negara.

Beliau turut mengadakan pertemuan tertutup dengan organisasi tersebut selain waris mangsa bagi mendapatkan perkembangan sebenar isu berkenaan dan menilai bantuan untuk dihulurkan.

Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia dibawa pulang selamat.

“Rakyat Malaysia namun dinasihatkan supaya menghubungi Kementerian Luar Negeri jika mendapat tawaran kerja di luar negara bagi memastikan kesahihan status syarikat tertentu.

“Langkah tersebut juga dapat membantu menyelamatkan mereka agar tidak terjebak dengan sindiket penipuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI