ROM – Sehingga 582,000 pekerjaan dikhuatiri ‘lenyap’ di Itali akibat krisis tenaga dan kemerosotan ekonomi, lapor laman berita RT semalam.
Perkara itu dilaporkan oleh media tempatan dengan memetik kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pengusaha Perindustrian Confindustria.
Berdasarkan kajian tersebut, jika harga gas kekal pada paras semasa, ekonomi Itali akan menyusut 2.2 peratus tahun depan dan akan kehilangan sehingga 383,000 pekerjaan pada 2022 hingga 2023.
Purata harga gas untuk bulan Ogos adalah €235 (RM1,069) bagi setiap megawatt/ jam (MW/h).
Menurut penganalisis, jika Russia menutup semua bekalan gas mulai Oktober ini, Itali berkemungkinan kurang lapan peratus (6.4 bilion meter padu) daripada gas yang diperlukan untuk menampung permintaan, dengan mengambil kira bekalan dan rizab alternatif yang tersedia.
Kekurangan sedemikian boleh menyebabkan penutupan besar-besaran perniagaan dan industri di negara itu.
Itali bergantung kepada import untuk hampir 75 peratus daripada penggunaan tenaganya.
Pada awal tahun ini, Itali mengimport 40 peratus gasnya dari Russia tetapi pembelian itu menurun kepada 25 peratus pada Jun lalu disebabkan oleh sekatan.
Awal bulan ini, Itali kehilangan banyak bekalannya dari Russia apabila Gazprom menghentikan aliran melalui saluran paip Nord Stream 1 kerana isu teknikal. – Agensi