BANDAR RAYA MEXICO – Gempa bumi kuat menggegarkan barat Mexico kelmarin (Isnin), dengan sekurang-kurangnya seorang terkorban, manakala gegaran mencetuskan panik sejauh beratus-ratus kilometer di Bandar Raya Mexico.
Bencana itu melanda pada tarikh sama dua gempa dahsyat berlaku sebelum ini.
Agensi seismologi kebangsaan menyatakan, gempa berkekuatan 7.7 pada skala Richter itu menyebabkan bangunan-bangunan tinggi bergoyang dengan orang ramai berlari keluar ke jalan-jalan di ibu kota Mexico untuk mencari perlindungan.
“Saya sangkakan saya diserang sakit jantung. Kebanyakan warga kota masih trauma disebabkan bencana gempa bumi lima tahun lalu yang mengorbankan beratus-ratus orang.
“Kawasan ini amat berisiko kerana banyak bangunan yang rosak dalam kejadian gempa bumi pada tahun 2017, masih belum dibaiki,” kata penduduk Bandar Raya Mexico, Gabriela Ramirez.
Seorang mangsa dilaporkan terbunuh akibat terkena serpihan runtuhan di sebuah pusat beli-belah di Manzanillo, negeri Colima, kata Presiden Andres Manuel Lopez Obrador menerusi kenyataan di laman Twitter.
Tambah beliau, tiada sebarang kerosakan besar dipercayai berlaku di Bandar Raya Mexico.
Pusat gempa berada dekat pantai Pasifik, kira-kira 400 kilometer (km) ke barat Bandar Raya Mexico dan 59 km ke selatan Coalcoman, dalam negeri Michoacan, kata ahli seismologi.
Kedalaman gempa dianggarkan pada 15 km dari permukaan tanah.
Ia merupakan gempa bumi besar ketiga yang melanda negara Amerika Latin itu pada tarikh 19 September.
Lebih 10,000 orang terkorban dan beratus-ratus bangunan musnah dalam gempa bumi kuat berukuran 8.1 pada skala Richter yang menggegarkan Bandar Raya Mexico pada 19 September 1985.
Semasa ulang tahun memperingati bencana tersebut pada 2017 pula, satu lagi gempa bumi kuat dengan magnitud 7.1 berlaku dan menyebabkan kira-kira 370 orang terbunuh, kebanyakan mereka di Bandar Raya Mexico.
Agensi seismologi kebangsaan bagaimanapun berkata, persamaan tarikh tersebut hanya kebetulan.
“Tiada penjelasan saintifik untuk menjelaskan kejadian itu,” kata agensi berkenaan. – AFP