LONDON – Pengurus Brentford, Thomas Frank menjadi calon pilihan sekiranya Leicester City mengambil keputusan untuk memecat Brendan Rodgers yang kini dipalit masalah prestasi.
Menurut laporan media tempatan, Rodgers kini dihimpit tekanan selepas mencatatkan enam kekalahan berturut-turut termasuk tunduk 2-6 kepada Tottenham Hotspur Ahad lalu.
Berdasarkan pencapaian The Foxes ketika ini, ia adalah rekod terburuk kelab itu di Liga Perdana Inggeris sejak 1983, namun Leicester juga masih belum membuat keputusan sama ada memecat Rodgers atau pun mengekalkan khidmatnya.
“Saya tahu bagaimana sebenarnya bola sepak dan saya faham kekecewaan penyokong. Saya tidak lagi boleh menyorok kerana semua ini adalah tanggungjawab saya.
“Kalah dalam enam aksi terakhir menjadi sesuatu yang kurang enak didengar, namun apa juga yang berlaku kepada saya, saya akan sentiasa menghormati kelab ini,” kata Rodgers selepas kekalahan kepada Spurs.
Rodgers ketika ini masih memiliki kontrak sehingga 2025 yang menyaksikannya meraih gaji £10 juta (RM52 juta) dan hanya Pep Guardiola, Jurgen Klopp dan Antonio Conte meraih pendapatan lebih tinggi daripadanya.
Pengerusi kelab, Aiyawatt Srivaddhanaprabha dan Pengarah Bola Sepak, Jon Rudkin yakin kelab itu akan melakukan perbincangan lanjut bagi menentukan masa depan Rodgers dalam tempoh cuti rehat antarabangsa selepas ini.
Frank pada Januari lalu sudah pun melanjutkan kontrak selama tiga tahun lagi dan berkemungkinan tidak akan meninggalkan Brentford.
– AGENSI