fbpx

Duit gaji habis rawat anak terlantar sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamaruddin dan Zuraidah sentiasa berada di sisi Mohd. Faizal yang kini terlantar sakit di rumahnya di Kampung Padang Lebar, Sungai Layang, Rembau baru-baru ini.

REMBAU – Sepasang suami isteri tetap tabah menjaga anak sulung mereka yang kini terlantar sejak lebih lima bulan selepas terlibat dalam satu kemalangan di Seremban pada Mac lalu.

Kamaruddin Kassim, 56, berkata, anaknya, Mohd. Faizal yang kini berusia 26 sangat memerlukan penjagaan rapi termasuk memakai lampin pakai buang serta perlu berulang-alik ke klinik kesihatan berdekatan bagi membersihkan luka akibat kemalangan.

Katanya, segala kos penjaga­an dan rawatan anaknya adalah menggunakan gaji sebanyak RM1,500 yang diterima sebagai pekerja pembersihan.

“Anak pula hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi orang kurang upaya (OKU) mental. Mujur saya sudah dapat gaji minimum yang diumumkan kerajaan, jadi lega sedikit bagi menampung perbelanjaan kami sekeluarga termasuk seorang anak berusia 16 tahun yang masih belajar.

“Walaupun sedih melihat keadaan Faizal, saya dan isteri harus tabah meneruskan tanggungjawab serta amanah ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Lebar, Sungai Layang di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Zuraidah Ariffin, 55, berkata, anaknya itu sebelum ini mendapat bantuan JKM bagi OKU mental kerana pernah terlibat dalam kemalangan motosikal yang mengakibatkan kepala anaknya terhantuk.

Menurutnya, sejak kejadian itu, anaknya terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan bagi mengawal sakit sehinggakan dia sukar untuk bekerja.

“Segala bayaran seperti memasukkan besi ke dalam kaki bernilai ribuan ringgit perlu dibayar menggunakan duit kami sendiri.

“Mujurlah sebelum kemalangan ini, saya ada mengeluarkan sedikit wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Menurutnya, wang tersebut digunakan untuk membaiki rumahnya dan bakinya pula adalah bagi menjelaskan kos bayaran hospital.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 155050463821 atas nama Kamaruddin Kassim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI