fbpx

Dua sindiket dadah RM20.56 juta tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arjunaidi Mohamed (tengah) menunjukan dadah yang dirampas ketika sidang media berkaitan kejayaan anggota Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang benilai rampasan dadah RM20.56 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. FOTO ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Kegiatan haram dua sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang dan selatan tanah air sejak beberapa bulan lalu, tumpas dengan tertangkapnya lima lelaki dan rampasan bernilai RM20.56 juta, baru-baru ini.

Penahanan kesemua suspek tempatan berusia 23 hingga 35 tahun itu turut melibatkan penemuan sebuah makmal memproses dadah terutama heroin.

Dua operasi khas secara berasingan itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dengan kerjasama JSJN Bukit Aman, Johor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kes pertama melibatkan serbuan di kawasan parkir berdekatan sebuah pasaraya di Ampang pukul 6.45 petang, 13 September lalu.

Kata beliau, ia membawa kepada penahanan dua lelaki dan rampasan ketulan mampat bahan disyaki heroin base seberat 1.54 kilogram (kg).

“Polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Puchong dan menahan seorang lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam kes itu.

“Ia seterusnya membawa penemuan 112 heroin base dan 89,500 biji pil Erimin 5 dalam sebuah kereta Mercedes Benz di sekitar Sri Damansara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Jelas Arjunaidi, kes kedua pula melibatkan tangkapan dua lelaki di sebuah rumah yang dipercayai makmal memproses dadah di Damansara Perdana, pukul 6.10 petang, 15 September lalu.

“Pemeriksaan lanjut antaranya menjumpai 355 bungkusan disyaki heroin base, 54 bungkusan disyaki methampetamine, 20 ketulan mampat disyaki ganja dan 15,830 pil Eramin 5.

“Turut dirampas, enam bungkusan disyaki caffein dan pelbagai peralatan untuk memproses dan menghasilkan dadah,” ujarnya.

Beliau berkata, rampasan keseluruhan dua kes itu melibatkan heroin base seberat 179.21 kg heroin base dan dadah lain berjumlah RM20.56 juta.

“Selain itu, polis menyita aset sindiket dianggarkan bernilai RM152,000 seperti dua kereta, lima motosikal, tiga jam tangan dan wang tunai RM5,000.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah Arjunaidi, dadah yang dirampas dipercayai diperoleh dari negara jiran dan dipasarkan di sekitar Lembah Klang serta selatan tanah air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI