UMUM mengetahui rumah tangga pasangan suami isteri, Lesti Kejora dan Rizky Billar sedang berada dalam fasa bahagia.
Kehidupan pasangan selebriti itu semakin kukuh selepas kehadiran anak sulung mereka, Muhammad Leslar Al-Fatih Billar yang kini berusia lapan bulan.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik dalam laman YouTube mereka, Rizky bertanyakan satu soalan mengejutkan isterinya.
Aktor berusia 27 tahun itu membangkitkan perihal kecurangan dan bertanyakan Lesti, apakah tindakan yang akan dilakukan si isterinya jika hubungan cinta mereka dicurangi dengan kehadiran insan ketiga.
“Sayang (panggilan untuk Lesti). Apakah kamu akan memaafkan saya jika saya berlaku curang?” soal Rizky.
Mendengar soalan tersebut, penyanyi berusia 23 tahun itu dengan tegas memberitahu, tidak akan sesekali memaafkan suaminya jika lelaki itu berlaku curang.
“Tidak. Saya tidak akan memaafkan awak jika curang. Kecurangan adalah suatu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan,” tegas Lesti.