IPOH – Sebahagian tulang dipercayai milik mangsa yang tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai di sini, telah dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis.
Penemuan terbaharu itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi pengesahan identiti.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, objek tersebut dikeluarkan sekitar pukul 2.45 petang.
Bagaimanapun katanya, keadaan cuaca buruk memaksa pihaknya menangguhkan sementara kerja-kerja mengesan saki baki tulang mangsa.
“Sebahagian rangka yang kita jumpa telah diserahkan kepada polis. Operasi hari ini ditangguhkan pada pukul 3 petang kerana cuaca buruk.
“Esok kita akan sambung semula operasi di lokasi sama sekiranya masih ada lagi saki baki tulang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kerja-kerja pencarian oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai akan disambung esok pada pukul 8 pagi.
Dua bangkai jengkaut bersama rangka tulang, baju dan rambut dipercayai milik mangsa runtuhan batu dijumpai di tapak kuari tersebut sejak semalam. – KOSMO! ONLINE