fbpx

Bajet 2023: Beri tumpuan bantu peniaga, pembayar cukai individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nizom menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Ke-6 Akademi Percukaian Malaysia (APM) di Menara Hasil, di sini, hari ini. FOTO FAISOL MUSTAFA

CYBERJAYA – Bajet 2023 yang dibentangkan bulan depan dijangka memberi lebih tumpuan membantu perniagaan dan pembayar cukai individu memandangkan negara masih dalam proses pemulihan ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Mohd. Nizom Sairi berkata, ia adalah strategi yang logik boleh diambil kerajaan dalam usaha membantu meringankan beban golongan terbabit.

“Biasanya memang ada (pengumuman insentif) cuma saya tidak boleh umum sekarang, ia akan diumumkan oleh Menteri Kewangan daripada segi perkara-perkara baharu dalam bentuk insentif pelepasan yang kerajaan berikan, tapi biasanya kerajaan akan melihat kepada keadaan semasa dan keperluan yang boleh membantu rakyat dan pembayar cukai.

“Sebenarnya dalam keadaan begini kerajaan memerlukan hasil cukai yang lebih supaya boleh berbelanja lebih untuk kepentingan rakyat, jadi ia perlu ada keseimbangan. Tak boleh beri pelepasan sahaja semua (nanti) cukai akan turun dan tidak boleh menjalankan program-program pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2023 selepas Majlis Konvokesyen Ke-6 Akademi Percukaian Malaysia 2022 di Menara Hasil di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 362 graduan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing membabitkan 323 graduan Diploma Lanjutan Percukaian Profesional, 11 graduan Diploma Lanjutan Perakaunan Profesional dan 28 graduan Sijil Certified Tax Investigator Programme.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, LHDN berada dalam landasan untuk mencapai sasaran kutipan cukai melebihi RM139.3 bilion bagi tahun 2022.

“Buat masa ini ‘we are on track to achieve the target’, kami yakin akan dapat mencapainya memandangkan tinggal suku terakhir, ini juga merupakan satu petanda bahawa pertumbuhan ekonomi adalah seperti yang dirancang dan dijangkakan oleh kerajaan.

“Berdasarkan keadaan prestasi semasa, sumbangan perniagaan dan individu kepada percukaian khususnya menunjukkan petanda yang sangat baik,” ujarnya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), Mohd. Nizom memaklumkan perkara berkenaan bukan di bawah kendalian LHDN.

“GST ini diperkatakan oleh pelbagai pihak, sesuatu yang di dalam kajian saya pun tidak tahu ia nya akan kembali atau tidak, rasanya kalau kajian didapati bagus mungkin kerajaan akan buat keputusan, jika tidak mungkin kerajaan akan tangguh atau tunggu.

“Oleh kerana GST ini adalah cukai tidak langsung, buat masa ini bukan di bawah LHDN mungkin Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang sebelum ini mengendalikan GST, kami tidak terlibat secara langsung,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI