PARIS – Seorang pemanjat bangunan bebas, Alain Robert telah ‘mendaki’ bangunan pencakar langit 48 tingkat di Perancis sempena sambutan hari lahirnya yang ke-60, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Robert yang digelar ‘Spiderman Perancis’, memanjat bangunan Tour TotalEnergies di Paris setinggi 187 meter Sabtu lalu.
Lengkap memakai seragam berwarna merah, dia sempat melambai kepada penonton yang berada di bawah ketika menakluki puncak bangunan tersebut.
Robert memanjat tanpa bangunan itu tanpa tali keselamatan. Dia hanya menggunakan tangan, sepasang kasut memanjat dan beg serbuk kapur untuk mengelap peluh.
“Saya mahu menghantar mesej kepada orang ramai bahawa umur 60 tahun bukanlah perkara yang teruk. Anda masih boleh bersukan, aktif, melakukan perkara yang menakjubkan.
“Saya berjanji kepada diri sendiri beberapa tahun lalu bahawa apabila saya mencapai usia 60 tahun, saya akan mendaki menara ini kerana 60 tahun melambangkan umur persaraan di Perancis dan saya fikir itu adalah sentuhan yang bagus,” kata Robert.
Robert mula memanjat bangunan pada tahun 1975 dan berlatih di sebuah lereng dekat kampung halamannya di Valence di selatan Perancis. – Agensi