fbpx

Siasatan isu curi data gaji penjawat awam masih berjalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rodzi ketika berucap pada Konvensyen Pegawai Keselamatan ICT di Kompleks F, Putrajaya di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan bahawa siasatan lanjut berhubung dakwaan kecurian data penyata gaji (ePenyata Gaji) kakitangan awam masih lagi berjalan.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, pihaknya mahu siasatan itu dilakukan secara terperinci termasuk memastikan dakwaan tersebut betul dan sahih sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan.

“Agensi berkaitan bersama beberapa pasukan siasatan lain sedang menyiasat isu itu berdasarkan aspek trend, kolerasi (hubungan dan kaitan) dan sebagainya.

“Kita akan lihat dari mana puncanya dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Konvensyen Pegawai Keselamatan ICT 2022 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, kerajaan sudah mendapat petunjuk berhubung isu berkenaan dan kenyataan lanjut mengenainya akan dikeluarkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Media sebelum ini melaporkan isu kecurian data apabila sekumpulan penggodam yang menggelarkan diri mereka dari organisasi keselamatan siber ‘gray hat’ mendakwa telah menceroboh ePenyata Gaji penjawat awam, bagi menunjukkan kelemahan sistem itu.

Difahamkan, kumpulan itu turut mendakwa dapat mengakses lebih sejuta baris identiti melalui pangkalan data sistem terbabit dalam format JavaScript Object Notation (JSON) dan comma-separeted values (CSV).

Antara maklumat yang diakses termasuk nama penuh, nombor MyKad, jawatan, jabatan, nombor slip gaji, nombor telefon bimbit, dan alamat e-mel, selain mengekstrak hampir dua juta slip gaji dan borang cukai dalam format PDF dengan jumlah saiz fail 188.75GB.

Kumpulan sama turut melampirkan beberapa tangkap layar slip gaji beberapa menteri dan ahli politik seperti Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI