IPOH – Sebuah lagi jengkaut yang disyaki tertimbus runtuhan batu dalam kejadian di tapak kuari dekat Keramat Pulai di sini Mac lalu berjaya ditemui petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, bangkai jentera itu ditemui pada pukul 5.02 petang.
Katanya, jentera itu ditemukan pada jarak tiga meter dari lokasi jengkaut pertama dan rangka tulang dipercayai milik mangsa runtuhan batu kuari dijumpai.
“Unit anjing pengesan (K9) telah pun digerakkan ke lokasi jengkaut dijumpai. Setakat ini kedudukan mangsa belum diketahui dengan tepat disebabkan terdapat timbunan batu besar di atas jentera berkenaan.
“Buat masa sekarang, operasi dihentikan sementara pada pukul 7 petang tadi dan akan disambung esok pukul 8 pagi,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati isteri kepada Itam Lasoh, 43, pekerja kuari yang dipercayai tertimbus dalam kejadian itu tiba dengan ditemani keluarganya sekitar pukul 5 petang.
Wak Uda Bah Kim, 41, bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan hanya memaklumkan menerima maklumat penemuan itu daripada pihak polis.
“Buat masa ini saya tidak mahu cakap apa-apa. Polis maklumkan berita ini dan saya terus datang ke sini (lokasi kejadian) untuk tahu lebih lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE