SABAK BERNAM- Tiga beradik yang sedang menonton televisyen nyaris rentung apabila kediaman mereka di Jalan Haji Sulaiman, Batu 38 Baroh di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.
Kejadian pukul 8.40 malam itu berlaku ketika wanita berusia 24 tahun dan dua adiknya berusia empat dan enam tahun berada di tingkat bawah rumah dua tingkat tersebut.
Mereka bagaimanapun terselamat selepas berjaya keluar dari rumah berstruktur kayu berkenaan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 8.49 malam.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan 18 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dan Sungai Besar.
“Pemeriksaan lanjut mendapati api sedang marak memusnahkan ruang tamu rumah berkenaan.
“Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit dan dipadamkan sepenuhnya pukul 9.08 malam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Norazam, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua mangsa bergegas keluar menyelamatkan diri.
“Kebakaran berkenaan melibatkan 80 peratus kemusnahan. Punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.