MELAKA – Hasrat dua remaja ingin menonton wayang di sebuah pusat beli-belah tidak kesampaian apabila seorang daripadanya maut dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Pokok Mangga, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 9.16 malam itu, mangsa, Muhammad Ammar Syahmi Rosli, 16, yang menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Rakannya, Muhammad Aidiel Zaidi, 16, yang membonceng bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Mercedes Benz E230 dipandu seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun membelok masuk ke simpang Taman Sri Pandan.
“Ketika kejadian dua remaja terbabit dari arah Malim menghala ke Dataran Pahlawan untuk menonton wayang.
“Dipercayai Mercedes Benz yang datang dari arah Klebang hendak masuk ke simpang Taman Sri Pandan dan telah berlaku perlanggaran dengan motosikal ditunggangi remaja terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kereta tersebut kemudian turut melanggar dua kenderaan lain masing-masing jenis Honda Accord dan Proton Aeroback.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan maut di lokasi, manakala rakannya terselamat.
“Kesemua pemandu yang terlibat juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan spesimen darah yang terlibat telah diambil oleh pengawai penyiasat untuk menyiasat kandungan alkohol serta dadah.
Ujarnya setakat ini kes disiasat mengijut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE.