fbpx

Rangka dipercayai mangsa runtuhan dihantar ke Jabatan Forensik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba mencari rangka mangsa di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Ipoh hari ini.

IPOH – Cebisan tulang dan rangka manusia yang ditemukan di tapak kuari dekat Keramat Pulai di sini, dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan pengesahan identiti.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, cebisan tulang dan rangka itu dijumpai di dalam sebahagian kabin jengkaut yang ditemui di lokasi tersebut hari ini.

“Pihak polis menerima maklumat pada pukul 8.30 pagi daripada pengusaha kuari mengenai penemuan serpihan jentera yang dipercayai dikendalikan oleh seorang daripada mangsa yang tertimbus dalam runtuhan batu.

“Pasukan mencari dan menyelamat yang diketuai Ketua Polis Daerah Ipoh dibantu pihak bomba dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak telah menemui cebisan tulang dan rangka manusia dalam kabin jentera berkenaan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Anggota bomba melakukan operasi mencari rangka mangsa di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Ipoh hari ini. – Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat di tempat kejadian masih diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa.

“Operasi di tempat kejadian diteruskan bagi mengesan rangka jentera lain dan seorang lagi mangsa yang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan batu tersebut,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu dan memberitahu jengkaut berkenaan dijumpai pada pukul 11.45 pagi tadi diikuti beberapa tulang dan baju sekitar pukul 12.30 tengah hari.

Gambar dari udara operasi pasukan penyelamat mencari rangka mangsa di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Ipoh hari ini. – Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke HRPB untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI