PETALING JAYA – “Ramai pula yang patah tengkuk minta sedekah, mungkin mereka pernah terlibat sama dalam kemalangan van sebelum ini”.
Demikian antara komen yang ditinggalkan orang ramai apabila melihat gelagat dua lelaki yang dipercayai warga asing sedang meminta sedekah di sebuah persimpangan lampu isyarat di Shah Alam.
“Bukan main laju menoleh kiri kanan, tak padan tengkuk patah,” ujar seorang pengguna.
Video berdurasi 17 saat itu telah mendapat perkongsian yang tinggi dalam kalangan pengguna media sosial dan lebih menarik perhatian ramai adalah kain putih yang dibalut keliling leher kedua-dua lelaki berkenaan seolah-olah mereka mengalami kecederaan pada bahagian anggota badan tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, ada pengguna memaklumkan pernah bertemu dengan individu tersebut di kawasan lain, namun pernampilannya berbeza apabila lelaki tersebut dilihat berjalan terhincut-hincut sambil menagih simpati orang ramai. – KOSMO! ONLINE.