fbpx

Rakyat China ditegah sentuh warganegara asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penumpang berjalan di kawasan perlepasan lapangan terbang di Wuhan pada 14 Januari 2021. – AFP

BEIJING – Seorang pegawai kanan China memberi peringatan kepada penduduk negara itu agar tidak menyentuh warganegara asing bagi mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti wabak cacar monyet, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Ketua Epidemiologi Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Wu Zunyou mengeluarkan nasihat tersebut sehari selepas kes pertama cacar monyet dilaporkan di Tanah Besar China.

Beliau berkata, sekatan Covid-19 dan kawalan sempadan yang ketat setakat ini berjaya mencegah penularan cacar monyet, sehinggalah kes pertama wabak tersebut dicatatkan di kawasan perbandaran Chongqing, barat daya China. 

Menurut pihak berkuasa tempatan, sebuah kumpulan ‘ketibaan antarabangsa’ dikenakan prosedur kuarantin wajib Covid-19 apabila jangkitan tersebut dikenal pasti.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan sama ada pesakit berkenaan merupakan penduduk China atau warganegara asing.

“Adalah amat penting untuk kita menguatkan pemantauan dan pencegahan wabak cacar monyet,” kata Zunyou menerusi hantaran di laman  sosial China, Weibo.

Beliau turut menekankan mengenai penularan wabak tersebut menerusi perjalanan antarabangsa dan kontak rapat dengan pesakit.

“Jangan bersentuhan dengan warganegara asing,” katanya dalam satu daripada lima cadangan kepada orang ramai bagi mencegah jangkitan.

Cadangan tersebut mencetuskan kontroversi di Weibo, dengan ada yang memuji saranan itu sebagai munasabah serta sebilangan menyuarakan kelegaan kerana tidak mempunyai ramai kenalan warganegara asing.

“Ia adalah bagus untuk membuka sempadan negara, namun kita tidak boleh membiarkan semua orang masuk,” kata seorang pengguna Weibo.

Selain itu, terdapat juga netizen yang menyifatkan pesanan  Zunyou sebagai diskriminasi dan berbahaya serta menyamakannya dengan gelombang xenofobia dan keganasan yang dihadapi oleh orang Asia di luar negara ketika permulaan pandemik Covid-19. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI