KUALA LUMPUR – Polis meningkatkan kekerapan rondaan ekoran peningkatan kes pecah rumah dan samun yang berlaku di sekitar kawasan Putrajaya.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya telah mengarahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk menjalankan operasi bersepadu.
“Saya juga sudah minta Ketua Polis Daerah untuk membuat operasi khas dan meningkatkan kekerapan rondaan.
“Kita kesan beberapa sasaran mudah terutama di pinggiran bandar dan pemantauan akan ditingkatkan di kawasan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Terdahulu, polis giat memburu tiga lelaki warga asing dipercayai terlibat kes pecah rumah dan samun bersenjata di sebuah rumah di Presint 11, Putrajaya minggu lalu.
Susulan itu, kumpulan sama disyaki sekali lagi memecah masuk sebuah rumah dengan bersenjatakan parang dan kayu di Presint 9, Putrajaya, semalam.
Mengulas lanjut, Yahaya mengesahkan bahawa polis telah berjaya menahan dua orang lelaki warga asing disyaki terlibat dalam kes terbabit.
“Setakat ini, siasatan masih di peringkat awal dan maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE