TAMPA, FLORIDA – Seorang pelajar universiti di negeri Florida, Amerika Syarikat ditembak mati awal Sabtu lalu selepas cuba memasuki kereta yang salah, lapor stesen penyiaran NBC News, semalam.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Carson Senfield, ketika kejadian, dilaporkan baru turun dari sebuah kenderaan Uber untuk pulang ke rumahnya sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan).
Polis berkata, pelajar Universiti Tampa tersebut selepas itu cuba memasuki sebuah kereta lain yang diparkir di kawasan berhampiran. Seorang lelaki berada di tempat duduk pemandu ketika itu, lapor stesen penyiaran Fox 13.
Pemandu kereta yang dikatakan bimbang dengan keselamatan dirinya serta tidak mengetahui mengapa Senfield cuba masuk ke dalam keretanya, bertindak menembak mangsa pada bahagian atas badan.
Mangsa disahkan mati di tempat kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi (waktu tempatan), kata polis, manakala penembak berkenaan kekal berada di lokasi kejadian dan memberikan kerjasama kepada detektif.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan pelajar berkenaan serta semua yang terlibat dalam insiden ini.
“Pihak universiti menghargai semua masyarakat setempat dan turut berduka atas kehilangan tragis ini,” kata Universiti Tampa dalam satu kenyataan.
Siasatan masih berlangsung dan sebarang dakwaan yang mungkin diambil akan diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara, kata polis. – Agensi