fbpx

Pegawai kanan universiti direman terima suapan kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek diiringi pegawai SPRM di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, hari ini. FOTO - RASUL AZLI SAMAD

MELAKA – Seorang pegawai kanan sebuah universiti awam di negeri ini direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan membabitkan kes menerima suapan berbentuk sebuah kereta bernilai RM174,500.

Perintah reman sehingga 26 September itu dikeluarkan oleh Majistret Mazana Sinin terhadap suspek yang berusia 50-an bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap SPRM bewarna jingga tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini pada pukul 9.04 pagi.

Permohonan reman selesai kira-kira 40 minit kemudian.

Semalam, Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad memaklumkan, pihaknya telah menahan seorang pegawai kanan sebuah universiti awam atas dakwaan menerima suapan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord.

Katanya, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri.

“Pegawai tersebut ditahan atas dakwaan menerima satu suapan harta alih iaitu sebuah kenderaan jenis Honda Accord 2.4 i-vtec yang dianggarkan bernilai RM174,500.

“Kereta itu diterima daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai RM1,654,350.

“Dia ditangkap bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM 10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI