fbpx

Malaysia-UAE perkukuh kerjasama menteri dan angkatan tentera pertahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishammuddin (kiri) ketika mengadakan pertemuannya bersama Tuan Yang Terutama (TYT), Mohammed Ahmed Al Bowardi di Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan UAE.

PETALING JAYA – Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sedia memperkukuhkan lagi kerjasama hubungan pertahanan akrab antara menteri dan angkatan tentera masing-masing.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pertemuannya bersama Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan, Tuan Yang Terutama (TYT), Mohammed Ahmed Al Bowardi di Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan UAE telah membawa kepada persetujuan empat kesepakatan penting.

“Saya dan TYT Mohammed Ahmed Al Bowardi mengadakan mesyuarat dua hala yang menumpukan terhadap hubungan pertahanan akrab antara menteri dan angkatan tentera masing-masing.

“Mesyuarat berjalan lancar serta amat membina sekaligus membawa kepada beberapa kesepakatan penting seperti mengadakan latihan dua hala bersama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera UAE,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin yang ketika ini dalam rangka lawatan rasmi ke UAE bagi bertemu beberapa pemimpin tertinggi kerajaan negara tersebut bersama beberapa barisan delegasi Malaysia.

Menurut Hishammuddin, latihan tersebut akan tertumpu di kawasan darat khususnya melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Darat UAE.

“Selain itu, meningkatkan pertukaran dan latihan pegawai ketenteraan antara kedua-dua angkatan tentera serta penglibatan antara ketenteraan (military to military) di peringkat tertinggi.

“Perkara ini turut dipersetujui oleh Panglima ATM dan Ketua Staf Angkatan Tentera UAE, Leftenan Jeneral Hamad Mohammed Thani al-Rumaithi,” jelasnya.

Katanya lagi, pertemuan tersebut turut memperlihatkan kedua-dua negara besar ini bersetuju mengeratkan kerjasama berkaitan industri pertahanan terutama berhubung Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) Malaysia.

Dalam pada itu, Hishammuddin juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan jemputan kepada TYT Mohammed Ahmed untuk hadir ke Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA) pada 23 hingga 27 Mei 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI