fbpx

Malaysia jadi lubuk artis luar ‘cari makan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSERT Dewa 19 baru-baru ini berjaya menarik kehadiran ribuan peminat tanah air termasuk selebriti tempatan.
NOR ERYANI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

KALENDAR tahun ini sudah penuh dengan jadual persembahan konsert di tanah air baik daripada penyanyi tempatan mahupun artis luar negara khususnya Indonesia yang dilihat mendominasi senarai.

Biarpun begitu, timbul pelbagai polemik seperti suara-suara yang mempertikaikan penganjuran konsert yang dianggap me­lalaikan buat masyarakat.

Tidak kurang juga keluhan peminat terhadap isu harga tiket yang dijual terlampau mahal dan tidak masuk akal.

Di sebalik isu-isu tersebut, anak seni tempatan khususnya ada yang bersuara meluahkan rasa kecewa apabila peluang untuk mereka ke luar negara dipandang sepi.

Tetapi sebaliknya berlaku buat artis luar apabila dilihat dengan mudah memasuki negara ini dengan penganjuran konsert tanpa henti setiap bulan.

Datuk Rossa, Afgan, Rizky Febian, Ungu, Padi sedang me­nunggu waktu menawan ribuan peminat tempatan selepas Dewa 19 dan Kunto Aji selesai menjayakan persembahan mereka.

Penyanyi Ezad Lazim mi­salnya pernah memberi pendapat tentang perkara tersebut, namun jauh sekali untuk menuding jari kepada sesiapa melainkan hanya berharap ada jalan penyelesaian terbaik dapat dicapai.

Ezad yang juga vokalis Exists mengakui, dia dan rakan-rakan artis yang lain sudah lama me­nunggu peluang untuk mengadakan persembahan di luar negara terutama di Indonesia.

Sedar dengan situasi yang berlaku sekarang, timbul tanggapan sesetengah pihak bahawa anak seni tempatan seperti dianaktirikan di tanah air, sedangkan artis luar pula disanjung tinggi.

Anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah mati kebuluran. Begitu stigma sesetengah anak seni terhadap isu keterbukaan penganjuran konsert artis luar negara.

Penyanyi Hazama bagaimanapun berpendapat sebaliknya ke­rana baginya, tiada istilah berasa dianaktirikan atau dipinggirkan di tanah air sendiri kerana mana-mana artis tidak kira lokal mahupun luar negara memiliki kumpulan peminat tersendiri.

Bahkan ujar penyanyi berusia 38 tahun itu lagi, soal lambakan konsert artis luar yang membanjiri negara ini berlaku atas kehendak penganjur.

“Itu semua atas kehendak penganjurlah, mereka lebih yakin bawa artis luar ke sini. Tidak ada rasa terpinggir sebab artis lokal ada ‘crowd’ sendiri.

“Contoh kita ambil konsert Dewa 19, selepas itu ada penganjuran Konsert Faztival yang himpunkan artis-artis kita. Jadi pada saya, sama sahaja,” ujarnya.

Apa yang penting kata Hazama, kemeriahan penganjuran konsert sehingga penghujung tahun ini menandakan industri muzik tanah air sudah kembali aktif selepas pandemik.

“Tak kisah artis dari mana pun, yang penting ada beri kebaikan buat industri kita. Termasuk juga dengan tayangan filem, sekarang berlumba-lumba tengah masuk pawagam.

“Jadi kena lihat perkara ini dari sudut positif. Tak perlu rasanya nak kecil hati sebab peminat yang datang tengok konsert itu, mereka sanggup bayar, bukannya percuma macam 10 tahun lepas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI