fbpx

Mahkamah: Keputusan kes saman Sultanah Nur Zahirah terhadap Clare Brown 31 Oktober ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 31 Oktober ini bagi keputusan kes saman fitnah yang difailkan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua lagi.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan Lee menetapkan tarikh tersebut selepas selesai mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini, Sultanah Nur Zahirah diwakili peguam, Vishnu Kumar manakala Clare diwakili peguam Americk Singh Sidhu.

Terdahulu perbicaraan kes saman itu bermula pada 1 Ogos lalu dengan Sultanah Nur Zahirah memberi keterangan saksi pertama pihak plaintif.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said turut dipanggil memberi keterangan saksi plaintif ketiga manakala Clare selaku saksi defendan pertama turut memanggil pengarah syarikat penyuntingan dan penulisan berpangkalan di United Kingdom, John Ellison Kahn sebagai saksi defendan kedua.

Kesemua saksi-saksi memberi keterangan secara dalam talian.

Dalam saman itu, selain Clare, turut dinamakan sebagai defendan ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd.

Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Clare telah membuat pernyataan yang memalukan terhadap baginda dalam buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa, kenyataan itu memberi gambaran bahawa baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri pentadbiran Terengganu selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan TIA yang kemudian menjadi 1MDB.

Baginda mendakwa kenyataan itu juga memberi gambaran yang baginda telah menolong ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho untuk menjadi penasihat TIA.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan tersebut telah memfitnah dan merosakkan reputasi baginda kerana baginda tidak pernah mencampuri pentadbiran negeri dan penubuhan TIA.

Baginda menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap defendan dan memohon perintah terhadap defendan kedua (penerbit) menarik balik buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah dan terhadap defendan ketiga supaya berhenti mencetak buku itu seterusnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI