KLANG – Perbuatan terkutuk lima lelaki termasuk pelajar sekolah yang disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bulan lalu, memakan diri apabila mereka dicekup polis semalam.
Kesemua suspek berusia 16 hingga 21 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar daerah ini, kira-kira pukul 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan dibuat ibu mangsa pukul 8.52 malam kelmarin.
Kata beliau, siasatan mendapati remaja yang juga pelajar sekolah itu dibawa seorang rakan perempuannya ke sebuah rumah di daerah ini, kira-kira pukul 8 malam, 12 Ogos lalu.
“Mangsa kemudian didakwa dirogol abang rakannya itu bersama empat lagi lelaki yang baru dikenali.
“Keluarga mangsa yang menyedari perkara itu kemudian tampil membuat laporan polis bagi tindakan lanjut,” katanya pada Majlis Pelupusan Barang Kes di Balai Polis Kapar di sini, hari ini.
Tambah Vijaya Rao, hasil maklumat berjaya membawa kepada penahanan lima suspek bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian air kencing ke atas mereka didapati negatif dadah, mereka kini direman selama lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan iaitu rogol berkumpulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.