GUA MUSANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah trak pikap di laluan bertentangan di Kilometer 70, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Mohammad Rizuan Hassan, 24, dari Kampung Setek, Kok Lanas dekat Ketereh terseret di atas jalan raya dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
Menurutnya, semasa melalui jalan berbukit, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Insiden itu menyebabkan sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun tidak sempat mengelak sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa terseret di atas jalan raya sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Choon Foo berkata, pemandu Toyota Hilux itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE