PETALING JAYA – Nasib baik hanya buah kelapa bukan pos dengan pokok sekali.
Itu antara reaksi netizen apabila melihat sekeping gambar yang tular di laman sosial berkaitan ‘parcel’ atau bungkusan yang perlu dihantar oleh seorang posmen.
Berdasarkan gambar tersebut, kelihatan dua biji kelapa yang lengkap dengan alamat menjadi antara ‘item’ yang perlu dihantar posmen tersebut.
Lebih melucukan, kelapa tersebut tidak berbalut atau berbungkus serta siap dengan tangkalnya sekali.
Difahamkan gambar tersebut dikongsi oleh seorang posmen, bagaimanapun tidak dinyatakan kelapa itu untuk dihantar ke mana dan bila gambar itu dirakam.
Namun, kelapa tersebut perlu dihantar menggunakan khidmat bayar selepas penghantaran (COD).
Susulan perkongsian itu, ada netizen merasakan item yang dikirimkan itu sangat ‘rare’ dan ada juga yang menyatakan mungkin penerima amat memerlukan kelapa itu.
“Nasib baik dia kirim buah sahaja, bukan dengan pokok sekali, apapun ‘item’ pos kali ini betul-betul ‘rare’, syabas posmen yang dapat item ini, ” kata Isa Antah.
“Tolong ja la delivery. Pesakit kanser yang menjalani radioterapi contohnya sangat memerlukan air buah kelapa, mana kita tau, orang tu perlu tapi tidak boleh keluar rumah,” tulis Wisiah Minshin.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Rafidah Murad.
“Penerima mungkin ada sakit atau kekangan yang tak boleh keluar membeli, nak suruh orang nanti menyusahkan,jadi gunalah kidmat penghantaran, bersangka baik sajalah kita,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE