fbpx

Jacinda Ardern nafi mahu New Zealand segera jadi republik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ardern menyifatkan proses menjadi negara republik akan mengambil masa dan perlu diuruskan dengan teliti. - 1News

LONDON – Perdana Menteri Jacinda Ardern menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang niat  menghasut mempercepatkan proses agar New Zealand bertukar status menjadi negara republik, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Menurut Ardern yang kini berada di London bagi menghadiri Istiadat Pengebumian Negara Ratu Elizabeth II, beliau percaya New Zealand suatu hari akan menjadi negara republik, namun ia bukan sesuatu yang akan menjadi fokus utama selepas kemangkatan baginda.

New Zealand adalah sebuah negara raja berperlembagaan dengan Ratu Elizabeth II sebagai Monarki Berdaulat dan Dewan Rakyat yang bersama-sama membentuk Parlimen New Zealand. 

Sebagai raja berperlembagaan, baginda Ratu Elizabeth II bertindak sepenuhnya atas nasihat Menteri Kerajaan New Zealand dan tidak mempunyai kuasa tertentu dalam urusan pentadbiran.

Walaupun Ardern menegaskan peralihan ketua negara daripada Ratu Elizabeth II kepada Raja Charles III tidak akan ‘mengejutkan’ negaranya, beliau meramalkan akan berlaku evolusi tersendiri dalam hubungan New Zealand dengan monarki Britain.

“Saya berpendapat mendiang Ratu Elizbeth II sebelum kemangkatan baginda,  juga telah memerhati dan mengakui evolusi yang wujud dalam hubungan kami dari semasa ke semasa.

“Mungkin evolusi dengan Raja Charles III akan berkaitan dengan perubahan status negara tidak lama lagi. Saya yakin ia akan berlaku semasa hayat saya masih ada,” ujarnya.

Menerusi wawancara bersama Badan Penyiaran Britain (BBC), Ardern diasak dengan pelbagai persoalan tentang bagaimana dan bila ia akan berlaku.

Sekali lagi, Ardern menegaskan bahawa status republik  bukan satu proses yang ringkas dan mudah kerana melibatkan banyak pihak.

“Kami mempunyai pengaturan yang rumit iaitu Perjanjian Waitangi, dokumen pengasas yang sangat penting untuk Aotearoa, New Zealand yang ditandatangani antara Maori dan monarki Britain.

“Inilah sebabnya saya tidak berniat untuk menggesa apa-apa berlaku namun apabila tiba masanya, ia akan mengambil masa dan perlu diuruskan dengan teliti,” jelasnya.

Pemimpin itu juga menetapkan pendirian beliau tidak akan mengetuai desakan negara-negara bekas tanah jajahan Britain lain yang menuntut status republik.

Perdana Menteri Antigua dan Barbuda, Gaston Browne telah mengisytiharkan hasratnya untuk mengadakan referendum bagi menjadi sebuah republik dan memecat Charles III  sebagai raja berpelembagaan dalam tempoh tiga tahun.

Antimonarki popular Australia termasuk pemimpin parti Greens, Adam Bandt, juga menggesa langkah ke arah republik beberapa jam selepas kematian Ratu Elizabeth II. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI