PETALING JAYA – Seorang pengguna Facebook, Farhana Zahra menawarkan ganjaran RM5,000 kepada mana-mana individu yang tampil berkongsi maklumat tepat berhubung kejadian pecah rumah awal pagi kelmarin.
Farhana yang juga mangsa (pemilik rumah) memaklumkan kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 1 pagi hingga 2.30 pagi, namun tiada kerugian dilaporkan.
‘Siapa yang boleh bagi maklumat tentang orang (pencuri) ini , cikna akan bagi ganjaran RM5,000.
“Cubaan untuk masuk rumah semalam pukul 1 pagi hingga 2.30 pagi, dua jam dia cuba buka rumah. Kerugian tiada sebab Cik Na (mangsa) tak simpan apa-apa barang berharga di rumah,” katanya dalam satu hantaran semalam.
Difahamkan, insiden tersebut berlaku di Tumpat, Kelantan.
Dalam perkongsiannya juga, Farhana turut memuat naik rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) rumahnya yang memperlihatkan cubaan individu (pencuri) berkenaan yang cuba membuka grill pintu tanpa menyedari perbuatannya itu dirakam.
“Dia pakai baju ‘hoodie’ warna kelabu cerah, kasut pun warna kelabu dan bawa beg warna hitam .
“Orang tumpat kalau kenal bagi tahu Cik Na ye,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE