LONDON – Kemenangan 3-0 ke atas Brentford kelmarin membuatkan Pengurus Arsenal, Mikel Arteta semakin berani untuk bercakap mengenai peluang pasukannya untuk mencabar kejuaraan musim ini.
Selain kembali menerajui carta liga, tiga mata yang diraih turut ditambah dengan beberapa cerita gembira termasuk penampilan Ethan Nwaneri yang kini muncul pemain termuda beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Kamu boleh tanya saya setiap hari dan sekarang kami kembali ke puncak liga. Saya begitu gembira dengan keputusan ini kerana ia akan menyerlahkan kemahuan kami dan apa yang sedang pasukan lakukan.
“Jelas sekali keputusan ini menjadikan saya rasa lebih baik kerana saya dapat lihat pemain beraksi mengikut apa yang kami mahu. Mereka menunjukkan kualiti dan karakter ketika menentang pasukan yang agak baik seperti Brentford.
“Kami perlu lakukan sehabis baik untuk mencapai sasaran dan kedudukan dalam liga selepas 38 perlawanan tidak akan dapat menipu semua orang,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, William Saliba membuka jaringan buat The Gunners diikuti dua lagi gol menerusi Gabriel Jesus dan Fabio Vieira.
Mengulas mengenai penampilan Nwaneri, Arteta menegaskan keputusannya untuk memasukkan pemain itu dibuat atas dasar yakin dengan bakat yang ada padanya dan percaya peluang ini akan menjadikannya lebih baik pada masa akan datang.
“Semua keputusan yang kami ambil adalah untuk kelab, bukan untuk saya atau pemain. Ini kerana, kami yakin dengan bakat yang dia ada dan mampu bertambah baik dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.
“Saya mahu dia dapat pengalaman dan dia nyata sudah pun bersedia. Apa pun pemain itu sendiri yang menentukannya,” jelasnya. – AGENSI