ARAGON – Pasukan Ducati tidak perlu menunggu sehingga perlumbaan terakhir MotoGP musim ini apabila berjaya melakar gelaran kategori pengeluar buat kali ketiga berturut-turut.
Skuad berpangkalan di Bologna, Itali tersebut sebenarnya sudah dijangka mendominasi saingan tersebut selepas menurunkan lapan jentera Ducati musim ini.
Bagaimanapun, penyumbang terbesar kejayaan Ducati hadir menerusi pelumba terbaiknya iaitu Francesco Bagnaia yang mencatatkan enam kemenangan setakat ini.
Kemudian, diikuti persembahan memukau Enea Bastianini yang mencatat kemenangan di Grand Prix (GP) Aragon kelmarin serta tiga kemenangan sebelum ini.
Hasil keputusan tersebut, Ducati kini mengumpul 346 mata dan ia sudah cukup membawa pasukan Itali itu dinobatkan sebagai juara dengan meninggalakan Aprilia dan Yamaha.
“Kami gembira mendapat gelaran kategori pengeluar buat kali ketiga berturut-turut dan yang keempat dalam sejarah penglibatan Ducati di MotoGP.
“Ia adalah keputusan yang kami sudah jangkakan terutama persembahan pelumba kami tahun ini, termasuk enam kemenangan Bagnaia dan empat kemenangan oleh Bastianini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelumba kami dan semua kakitangan Ducati Corse atas komitmen mereka bagi membolehkan kami mencapai matlamat ini sekali lagi,” kata Pengurus Besar Ducati, Luigi Dall’Igna.
Pasukan Ducati kini beralih kepada misi untuk membantu Bagnaia melakar gelaran dunia MotoGP selepas hanya dipisahkan 10 mata di belakang Fabio Quartararo (Yamaha).
“Tumpuan Ducati seterusnya ialah membantu Bagnaia untuk meraih gelaran dunia dalam baki lima perlumbaan musim ini.
“Perlumbaan di Jepun amat penting bagi kami dan saya harap Ducati mampu memanfaatkan segala peluang yang ada,” ujar Dall’Igna. – AGENSI