fbpx

Terkejut tiga lelaki berparang dan kayu ceroboh rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek telah mengumpil pintu gelengsar di bahagian sisi rumah mangsa sebelum bertindak mengikat penghuni rumah dan melarikan barangan berharga. - Foto IHSAN PDRM

PUTRAJAYA – Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila kediaman mereka di Presint 9 di sini dipecah masuk oleh tiga lelaki dipercayai warga asing bersenjatakan parang dan kayu dalam satu kejadian samun awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, mangsa, seorang lelaki berusia 40 tahun telah dikejutkan daripada tidur oleh tiga lelaki tidak dikenali yang dipercayai warga Indonesia.

“Salah seorang suspek kemudiannya bertindak mengikat jari mangsa menggunakan pengikat kabel dan mangsa turut mendapati bahawa ibu dan bapanya yang juga tinggal bersama telah terlebih dahulu diikat tangan mereka menggunakan dawai berwarna hijau.

“Suspek telah mengambil dompet si bapa, dua utas gelang milik ibu mangsa, seutas rantai milik anak mangsa serta wang tunai berjumlah RM500 yang menjadikan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM5,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, siasatan yang dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek bersenjatakan dua bilah parang dan sebatang kayu berukuran lebih kurang 15 sentimeter telah mengumpil pintu gelangsar rumah mangsa kira-kira pukul 3.52 pagi.

“Mangsa bekerja di sebuah syarikat pengawal keselamatan dan ketika kejadian isterinya tiada di rumah kerana menjalani kursus di Tasik Kenyir, Terengganu. Pemeriksaan lanjut mendapati suspek telah masuk ke rumah mangsa melalui arah belakang rumah jirannya.

“Mangsa memaklumkan bahawa kesemua suspek memakai topeng ski, sarung tangan, berpakaian gelap selain berkasut getah dan pihak polis telah mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat di rumah mangsa serta jiran-jiran untuk diteliti bagi membantu siasatan,” ujar beliau.

Tambah A. Asmadi, siasatan berhubung kejadian masih diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan serta Seksyen 397 kanun sama dan operasi bersepadu pencegahan juga rondaan yang sebelum ini berjalan tumpuan di Presint 11, Putrajaya telah diperhebatkan.

Tegas A. Asmadi, operasi menjejaki kesemua suspek akan berjalan sehingga mereka yang terlibat berjaya ditumpaskan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI