SAN JUAN, PUERTO RICO – Taufan Fiona mengakibatkan bekalan elektrik di seluruh Puerto Rico terputus kelmarin, sebelum melanda wilayah tersebut dengan membawa hujan lebat serta menyebabkan kerosakan besar di beberapa kawasan sebelum menghala ke Republik Dominica.
Tanah runtuh, jalan raya terhalang, pokok tumbang, bekalan tenaga terputus dan jambatan runtuh di bandar Utuado merupakan antara bencana yang disebabkan oleh taufan tersebut, kata Gabenor Puerto Rico, Pedro Pierluisi pada sidang akhbar petang semalam.
Beliau berkata, wilayah Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai populasi lebih tiga juta orang itu terputus bekalan elektrik menjelang ketibaan Taufan Fiona menghampiri sambil menambah, bekalan elektrik masih belum pulih.
Meskipun taufan tersebut menghala ke luar pantai, hujan lebat dan banjir kilat melanda Puerto Rico sepanjang malam semalam sebelum Fiona bergerak ke Republik Dominica hari ini.
“Fiona akan menjadi peristiwa ‘malapetaka’ berikutan impak banjir di kawasan pergunungan di tengah Puerto Rico di samping bahagian timur dan selatan,” kata Pierluisi dalam satu kenyataan di laman Twitter.
Beliau menambah, hujan sebanyak 23 hingga 33 sentimeter turun dalam masa hanya lima jam.
“Jumlah taburan hujan akan mencetuskan banjir kilat yang mengancam nyawa serta banjir di kawasan bandar di seluruh Puerto Rico dan timur Republik Dominica,” kata Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC).
Menurut beberapa pegawai, taufan itu turut menyebabkan kira-kira 196,000 orang kehilangan sumber bekalan air minuman disebabkan bekalan elektrik terputus dan sungai melimpah.
Taufan Fiona melanda Puerto Rico petang semalam sebagai taufan Kategori Satu yang membawa angin selaju 140 kilometer sejam iaitu tahap terendah dalam skala taufan lima peringkat Saffier-Simpson.
Fiona dijangka menjadi lebih kuat dan bertukar kepada ‘taufan besar’ sebelum bergerak ke bahagian utara menuju perairan terbuka di Lautan Atlantik, kata NHC.
Ribut itu diramal tiba di Kepulauan Turks dan Caicos serta tenggara Bahamas menjelang lewat hari ini atau awal pagi esok.
Sementara itu, Presiden Joe Biden mengisytiharkan darurat bagi wilayah Puerto Rico semalam bagi membolehkan wilayah itu mendapatkan bantuan kerajaan persekutuan bantuan. – AFP