RIYADH – Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dijangka membatalkan hasrat menghadiri Istiadat Pengebumian Negara Ratu Elizabeth II selepas jemputan beliau ke London berdepan kritikan hebat aktivis-aktivis hak asasi manusia, lapor portal berita MailOnline, semalam.
Sebaliknya, Putera Turki Mohammed Al Saud yang merupakan salah seorang kerabat diraja akan mewakili Arab Saudi pada istiadat pemakaman yang berlangsung petang ini (waktu Malaysia), demikian menurut pengesahan Pejabat Luar Negara Britain.
Jurucakap Pejabat Luar Negara berkata, mana-mana ketua negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan United Kingdom (UK) boleh memilih untuk mewakilkan jemputan itu.
Ada sumber yang mengatakan perubahan itu telah dibuat oleh Arab Saudi.
Ini berlaku selepas kumpulan-kumpulan hak asasi manusia mengkritik keputusan menjemput Putera Mohammed yang sebelum ini dituduh bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi oleh perisikan Barat.
Tunang arwah, Hatice Cengiz, turut mengecam pelawaan kontroversi itu.
Hatice berkata, kehadiran putera mahkota akan mencemarkan nama baik mendiang ratu.
Sentimen tersebut dilaungkan oleh aktivis-aktivis yang mengatakan, membenarkan kehadiran pemerintah di belakang tabir Arab Saudi itu sebagai cubaan ‘membersihkan rekod hitam’ hak asasinya.
Monarki Arab Saudi itu didakwa ‘meluluskan pembunuhan Khashoggi’ di Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2018, demikian menurut dakwaan laporan Agensi Risikan Pusat (CIA).
Putera Mohammed yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut baru-baru ini berkata, wartawan itu tidak akan menjadi antara 1,000 sasaran utama untuk dibunuh sekiranya benar baginda yang mengeluarkan arahan berkenaan.
Putera mahkota itu adalah salah seorang daripada lebih 500 pembesar asing dan ketua negara yang dijemput untuk istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II di Westminster Abbey.
Kedutaan Diraja Arab Saudi mengesahkan Sabtu lepas bahawa Putera Mohammed dalam perjalanan ke London tetapi tidak mendedahkan butiran lawatannya.
Kira-kira 2,000 orang dijangka menghadiri istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II termasuk pemimpin dunia, tetamu khas dan ahli keluarga diraja yang lain. – Agensi