LONDON – Presiden Armenia, Vahagn Khachaturyan tanpa segan silu melanggar protokol rasmi apabila merakam gambar memberi tunduk hormat kepada keranda Ratu Elizabeth II di Dewan Westminster, lapor akhbar Metro UK semalam.
Kejadian tersebut sempat dirakam oleh Badan Penyiaran Britain (BBC) yang membuat siaran langsung upacara penghormatan terakhir itu sejak Khamis lalu.
Salah seorang pembantu peribadi Khachaturyan dilihat mengeluarkan telefon bimbit dan merakam gambar beliau di hadapan keranda Ratu Elizabeth II.
Panduan rasmi kerajaan jelas menyatakan bahawa orang ramai yang masuk untuk memberi penghormatan terakhir tidak boleh merakam video, gambar, menggunakan telefon bimbit atau peranti pegang tangan lain di zon keselamatan atau di dalam Dewan Westminster.
“Semua orang mematuhi peraturan itu dengan betul selain daripada individu ini,” kata seorang sumber kepada akhbar The Sun UK. – Agensi