fbpx

Patutkah sepak cermin sisi kereta?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

MINGGU lalu banyak kes penunggang motosikal bertindak kurang ajar dengan menendang cermin sisi kereta sampai ada yang terkulai layu dan terpelanting.

Alasan ‘suspek’, pemandu kereta terbabit menukar lorong tanpa memberi lampu isyarat yang dikatakan mereka tindakan itu boleh meragut nyawa.

Kaki yang sepatutnya menekan brek motosikal, tetapi digunakan untuk menendang cermin sisi kereta angkara amarah yang keterlaluan.

Jika dahulu, tindakan undang-undang sukar diambil terhadap ‘suspek-suspek’ terlibat, namun sekarang ‘bersepah’ kenderaan memasang dashcam yang dapat merakam aksi jelik penunggang terbabit, sekali gus dapat dijadikan bukti.

Tiada guna bersorak gembira kononnya puas dapat menendang cermin sisi kereta sampai pecah, tetapi akhirnya ditangkap polis, silap-silap masuk penjara jika gagal membayar ganti rugi.

Penunggang motosikal tidak sentiasa betul ketika berada di atas jalan raya, begitu juga pemandu kereta. Kadangkala kita tunggang motosikal dan kadangkala kita pandu kereta.

Jika memandu kereta, bagi isyarat awal dan pandang cermin sisi terlebih dahulu sebelum menukar lorong secara perlahan-lahan.

Bagi penunggang motosikal pula, amalkan sikap bertimbang rasa dan beradab ketika menunggang. Di atas jalan raya, penunggang motosikal umpama dihamparkan ‘karpet merah’.

Sesesak mana pun jalan raya, mereka tidak perlu beratur panjang, sebaliknya boleh ‘mencilok’ kenderaan lain. Kereta mungkin mengambil masa sejam untuk jarak 10 kilometer tetapi motosikal mungkin tidak sampai setengah jam.

Jadi, bertimbang rasalah. Jangan tunggang motosikal dengan kelajuan lebih 80 kilometer sejam ketika ‘mencilok’ di jalan raya yang sesak. Tidak semua melakukannya, namun ramai yang sebegini.

Apabila nampak kereta mahu menukar lorong, semakin dipulas pendikit minyak itu dan memecut laju. Apa salahnya jika bertimbang rasa dengan memberi peluang kereta itu menukar lorong.

Bukan sahaja pemandu kereta yang ngeri melihat cara mereka menunggang motosikal, malah penunggang lain yang berhemah pun takut dirempuh penunggang yang tergesa-gesa.

Jika motosikal di hadapan perlahan, penunggang di belakang kena faham yang motosikal di depan sayangkan nyawa daripada terkejar-kejar ‘mencilok’ laju. Jadi tidak payah ‘mencucuk’ atau bunyikan hon berkali-kali, sabarlah duduk di belakang.

Sebaiknya ketika melalui jalan raya yang sesak, tunggang motosikal di bawah kelajuan 50 kilometer sejam kerana kita sempat membrek sekiranya berlaku sesuatu di hadapan.

Tindakan menunggang motosikal secara melulu, tergopoh-gapah, laju tidak bertempat dan melanggar peraturan jalan raya hanya akan membawa binasa.

Mungkin hari ini kita bernasib baik, tetapi takut-takut esok atau lusa, jasad akan terkulai layu atau terpelanting di atas jalan raya seperti nasib cermin sisi kereta yang kena terajang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI