GEORGE TOWN – Ahli Jawatankuasa Pusat diminta mempertimbangkan cadangan Parti Gerakan Pulau Pinang menggunakan logo parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, beliau meminta jawatankuasa pusat membuat pertimbangan untuk berbincang dengan Majlis Tertinggi PN mengenai penggunaan bendera Gerakan itu.
“Saya meminta untuk Gerakan Pulau Pinang menggunakan bendera kami sendiri untuk bertanding pada PRU-15 nanti.
“Ini kerana ramai rakyat Pulau Pinang berpendapat kami masih lagi dalam Barisan Nasional (BN) dan bendera PN agak sama jadi ini boleh menjadi punca penolakkan rakyat pada kami pada PRU-15 nanti,” katanya selepas Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Rakyat Malaysia Pulau Pinang 2022, di sini semalam.
Menurut Tong Keong, Parti Gerakan yang ditubuhkan di Pulau Pinang mempunyai rekod pentadbiran yang cemerlang selama 39 tahun mentadbir negeri.- KOSMO! ONLINE