SIAPA kata generasi muda tidak peduli dengan perkembangan semasa dan tidak mengambil tahu tentang selok-belok pentadbiran negara.
Mereka melihat dan menilai bagaimana pemimpin mengatasi masalah negara pascapandemik Covid-19.
Menurut pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Rembau, Negeri Sembilan, Anastassia Abdul Raman, 22, sebagai generasi muda, rasa cintakan negara tetap terpahat di sanubarinya.
“Kita generasi muda amat menghargai pemimpin yang mentadbir negara dengan baik sejak pandemik Covid-19 melanda.
“Walaupun orang muda sering dikaitkan dengan budaya baharu seperti K-Pop dan e-Sukan, percayalah semangat kemerdekaan dan patriotik tetap subur di hati kami,” katanya ketika ditemui di Bukit Jelutong, Shah Alam baru-baru ini.
Anastassia yang merupakan anak sulung daripada lima beradik berkata, bagi membuktikan kecintaan kepada negara, dia akan menggunakan kuasa satu undi untuk memilih pemimpin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Katanya, pendaftaran secara automatik warganegara berumur 18 tahun ke atas membuktikan komitmen kerajaan untuk memberi mandat kepada generasi muda menjadi ‘pencatur’ kepada barisan kepimpinan negara.
“Saya akan mengundi di Parlimen Shah Alam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik. Peluang mengundi semasa pilihan raya sangat saya nantikan.
“Sebagai generasi muda, saya mahu melihat parti yang menang pilihan raya menunaikan manifesto dan bukan bahan kempen semata-mata,” katanya.
Pelajar Diploma Komunikasi Massa itu berkata, orang muda dilihat cenderung merujuk alam maya untuk mendapat informasi tentang pelbagai perkara termasuk politik, gajet dan pelbagai bahan rujukan termasuk membeli barang.
Katanya, tidak kira alam maya atau alam nyata, ia telah menjadi norma hidup masyarakat pada masa sekarang.
“Oleh itu, kita perlu berhati-hati sewaktu menulis di media sosial. Jangan sesuka hati menghantar komen, dibimbangi memakan diri,” katanya.
Anastassia yang turut aktif dalam sukan bola baling dan e-Sukan di universiti berkata, dia amat menghargai keamanan dan kemakmuran yang dikecapi dan berharap ia dapat dikekalkan selama-lamanya.
Jelasnya, ia amat penting untuk melancarkan ekosistem kegiatan ekonomi makro, terutama jika melibatkan peluang-peluang pekerjaan di sektor pembuatan dan pertanian.
“Saya berharap, jika ekonomi negara berada dalam keadaan baik, peluang pekerjaan untuk graduan universiti lebih terjamin,” ujarnya.
Anastassia yang meminati makanan Korea dan Jepun berkata, dia menjadikan ibunya, Azura Mokhtar, 49, sebagai idola dalam meneruskan cita-cita untuk berjaya dalam bidang yang diceburinya.
Ibunya komited dalam pekerjaannya sehingga mampu menganjurkan program berskala besar di tempat kerjanya.
“Saya lihat ibu bekerja keras setiap hari termasuk hari minggu tanpa rasa penat.
“Ini menjadikan saya lebih bermotivasi mengikut jejak ibu untuk berjaya dalam bidang korporat satu hari nanti,” katanya.
Dia berkata, keluarga adalah sumber kekuatannya dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang pelajar universiti.
Katanya, sebagai anak sulung dalam keluarga, dia mendapat pengalaman berguna sebagai tempat rujukan adik-adiknya sejak kecil.
“Apabila keluar dari rumah dan tinggal di kolej kediaman semua perlu dilakukan sendiri.
“Pengalaman menjaga adik-adik, saya aplikasikan dalam kehidupan bersama rakan-rakan,” katanya.
Mengulas aktiviti semasa di UiTM Rembau, Anastasia berkata, aktiviti sosial terhad kepada yang bersifat akademik bersama pelajar lain.
Aktiviti-aktiviti tersebut jelasnya, mematangkan dirinya yang berjauhan daripada adik-adik dan ibu serta bapanya, Abdul Raman Ali Bahadar, 57.
“Dalam keluarga, saya lebih bersikap menjadi pendengar setia kepada adik-adik jika mereka ada masalah.
“Masing-masing ada kecenderungan sendiri, maka saya nasihat mana yang perlu sahaja,” katanya yang meminati bidang pengurusan acara dan pemasaran.
Dalam pada itu, katanya, pada masa ini, anak muda sudah tidak kisah jika mereka bekerja dalam bidang yang bukan dipelajari di universiti.
“Apa yang penting, rezeki yang datang sudah tertulis untuk kita. Jadi, terimalah seadanya.
“Cuma kita perlu berusaha lebih gigih dalam memastikan mendapat pekerjaan yang sesuai dengan dengan ilmu dipelajari di institusi pengajian tinggi,” katanya menutup bicara.