DUBLIN, IRELAND – Sepasukan doktor di Ireland berjaya mengeluarkan 55 biji bateri bersaiz AA dan AAA dari perut seorang wanita selepas dia dilaporkan menelan bahan tersebut dalam tindakan untuk mencederakan diri sendiri, lapor laman berita Wion News semalam.
Berdasarkan laporan perubatan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan, Irish Medical Journal Khamis lalu, pesakit berusia 66 tahun itu dirawat di sebuah hospital di Dublin selepas menelan bateri berbentuk silinder dengan kuantiti tidak diketahui pada awalnya.
Doktor yang merawat wanita berkenaan dalam laporan itu berkata, ia merupakan jumlah bateri terbanyak yang ditelan dalam satu-satu masa yang pernah dilaporkan.
“Tindakan menelan beberapa bateri AA bersaiz besar sebagai langkah mencederakan diri sendiri adalah suatu kejadian yang luar biasa,” kata doktor-doktor.
Bagi kebanyakan kes tertelan bateri dalam kalangan kanak-kanak, bateri ada kalanya boleh bergerak di dalam badan tanpa mengakibatkan masalah.
Namun, sekiranya tersekat pada kerongkong, ia boleh menyebabkan kecederaan teruk dan mengancam nyawa, demikian menurut pusat perubatan UCSF Benioff Children’s Hospitals di California.
Ini kerana air liur akan menyalurkan arus elektrik dalam bateri yang ditelan, merangsang tindak balas kimia yang boleh membakar esofagus serta mengakibatkan kerosakan tisu yang teruk serta pendarahan.
“Risiko bateri silinder yang boleh mengakibatkan mudarat teruk tidak harus dipandang ringan,” kata laporan kes wanita berkenaan.
Dalam kes tersebut, hasil pemeriksaan X-ray mendapati bateri di dalam perutnya kelihatan tidak menghalang saluran usus dan tiada sebarang bateri yang menunjukkan petanda mengalami kerosakan struktur.
Selepas seminggu dipantau, doktor melakukan pembedahan ke atas pesakit berkenaan dan mendapati bahawa perut ‘tertarik’ ke bawah akibat berat bateri, menyebabkannya menjadi kembung dan menegang.
Pasukan doktor tersebut membuat lubang kecil pada perut pesakit dan mengeluarkan semua bateri itu. – Agensi