PENYANYI terkenal Britney Spears meluahkan rasa sedih apabila dua orang anak lelakinya, Preston dan Jayden enggan bertemu dengannya tanpa sebab yang diketahui.
Menerusi curahan hati yang dikongsikan Spears dalam Instagram miliknya, pelantun lagu Toxic itu memberitahu, separuh jiwanya telah mati selepas kedua-dua puteranya itu enggan bertemu dengannya.
“Sejak anak-anak ‘pergi’, sejujurnya saya merasakan seperti sebahagian besar diri saya telah mati. Saya amat merindui mereka.
“Anak-anak sangat bererti dalam kehidupan saya. Apabila mereka menjauhkan diri dari saya, kehidupan ini umpama tiada lagi makna,” katanya.
Kata penyanyi berusia 40 tahun itu lagi, dia tidak tahu punca anak-anaknya enggan untuk berjumpa dengannya.
Malah, dia hanya mengetahui tentang perkara tersebut melalui bekas suaminya iaitu bapa kepada dua anaknya itu, Kevin Federline.
“Bekas suami sendiri enggan menjelaskan sebab mengapa anak-anak tidak mahu berjumpa dengan saya.
“Tetapi saya diberitahu bahawa mereka enggan bertemu dengan saya kerana telah melihat banyak perkara yang membuatkan mereka berasa tidak selesa,” katanya.