GUA MUSANG – Seorang bapa tunggal ditemui meninggal dunia di dalam rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di sini petang semalam.
Mangsa, Mohd. Nor Izuan Mohamed, 42, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dijumpai sudah tidak sedarkan diri oleh jirannya kira-kira pukul 6.45 petang.
Menurut saksi kejadian, Muhammad Syahrul Azuan Che Azamri, 32, dia telah dimaklumkan oleh anak perempuannya yang berusia lapan tahun bahawa mangsa sudah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumahnya.
Katanya, dia bergegas ke rumah Mohd. Nor Izuan yang terletak bersebelahan dengan bloknya di PPR itu.
“Anak perempuan saya berkawan dengan anak lelaki mangsa. Ketika kejadian, anak saya kebetulan ke rumahnya untuk bermain bersama anak Mohd. Nor Izuan sebelum melihat mangsa tidak sedarkan diri.
“Saya bergegas ke rumah manngsa dan melihatnya sudah tidak sedarkan diri sebelum menghubungi pegawai kesihatan untuk memeriksa keadaannya sebelum disahkan dia telah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohamed Che Abu Bakar, 78, berkata, anaknya itu sudah bercerai dengan isterinya dan tinggal bersama seorang anak lelaki berusia sepuluh tahun. – KOSMO! ONLINE