fbpx

Banjir besar di Pakistan mulai surut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk meredah air banjir di daerah Dadu, wilayah Sindh pada 7 September lalu. – AFP

ISLAMABAD – Banjir di Pakistan mulai surut di wilayah paling teruk terjejas, Sindh, kata pegawai Jumaat lalu, satu perkembangan baik bagi krisis bencana alam tersebut yang telah mengakibatkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal, lapor akhbar Arab News kelmarin.

Sungai Indus, yang kekal melimpah sehingga awal bulan ini kini kembali ke paras normal menuju ke Laut Arab, kata seorang pegawai pengairan, Mohammad Irfan.

Paras air dalam tempoh 48 jam lalu dilaporkan surut sehingga 914 milimeter di beberapa kawasan berhampiran yang ditenggelami air termasuk bandar Khairpur dan Johi, di mana air paras pinggang telah memusnahkan tanaman dan kediaman awal bulan ini.

Khamis lalu, beberapa jurutera membuka semula laluan sebuah lebuh raya utama di barat daya wilayah Balochistan, sekali gus mempercepatkan penyaluran bantuan perubatan kepada penduduk yang menghidap penyakit-penyakit bawaan air dan denggi.

Bagaimanapun, ratusan ribu penduduk di wilayah Sindh masih lagi tinggal di khemah-khemah sementara dengan pihak berkuasa berkata, ia mungkin mengambil masa hingga berbulan-bulan untuk air banjir benar-benar surut di wilayah tersebut.

Setakat ini, banjir besar itu telah memusnahkan 1.8 juta kediaman di seluruh Pakistan, memusnahkan jalan-jalan raya serta menghanyutkan hampir 400 jambatan, kata Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan.

Banjir tersebut turut menenggelamkan berjuta-juta hektar tanah dan menjejaskan 33 juta penduduk, dengan hampir satu pertiga dari Pakistan ditenggelami air.

Sebilangan pakar ekonomi menganggarkan kos bagi kemusnahan bencana alam itu mencecah AS$30 bilion (RM136 bilion). 

Sementara itu, Tabung Kanak-kanak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menganggarkan banjir di Pakistan membuatkan 3.4 juta kanak-kanak kini memerlukan bantuan kecemasan segera.

Wakil UNICEF di Pakistan, Abdullah Fadil berkata, secara keseluruhan, 16 juta kanak-kanak menjadi mangsa banjir itu, lapor stesen penyiaran CNN.

Anggaran itu dikeluarkan selepas Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan mengemas kini angka kematian bencana itu sejak pertengahan Jun lalu menjadi 1,545 orang dengan 552 daripadanya adalah kanak-kanak.

“Situasi di wilayah Sindh melebihi yang diramalkan, dengan ramai kanak-kanak kekurangan nutrisi sedang bergelut dengan penyakit-penyakit termasuk cirit-birit, malaria, demam denggi dan sakit kulit.

“Kanak-kanak di Pakistan kini ‘membayar harga’ bagi bencana alam yang bukan berpunca daripada mereka,” kata Abdullah.

Tambah beliau, kanak-kanak tinggal di kawasan terbuka bersama keluarga tanpa air minuman, makanan dan keperluan asas, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko berkaitan banjir dan kemusnahan.

“Ibu-ibu mengalami keletihan dan kekurangan nutrisi dan zat makanan, membuatkan mereka tidak dapat menyusukan bayi.

“Infrastruktur-infrastruktur utama turut musnah termasuk beribu-ribu sekolah, sistem air dan kemudahan perubatan,” ujar Abdullah. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI