PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah pun menempatkan anggota dan aset perlu sebagai persediaan berdepan bencana banjir Monsun Timur Laut (MTL).
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penempatan aset dan anggota itu dibuat berdasarkan pemetaan dan ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)
“Saya sendiri akan melawat pusat operasi MTL Khamis ini dan akan memberi taklimat terperinci mengenai penempatan aset dan anggota berkenaan.
“Saya difahamkan aset sudah pun dihantar selari dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) baru-baru ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan) 2021 di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE