fbpx

Bajet 2023: Bela nasib mahasiswa ‘ikat perut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN/AFIQ RAZALI
ALWANI ZAFIRAH KHAIRUL,
WARTAWAN EKSEKUTIF

PADA masa kini ramai yang mengeluh dengan peningkatan kos sara hidup sama ada di bandar dan luar bandar.

Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) antara golongan yang mengeluh kerana kebanyakan mereka bergantung sepenuhnya terhadap pinjaman pengajian.

Rata-rata penuntut di IPT akan menggunakan sekurang-kurangnya 60 hingga 70 peratus jumlah pinjaman pengajian untuk membeli buku latihan, nota kuliah dan barangan keperluan mengikut kursus.

Berbaki kira-kira 30 peratus lagi, ia adalah bagi kegunaan membeli makanan serta sebagai simpanan kecemasan.

Jumlah itu dilihat tidak cukup apabila sebelum ini pelbagai portal berita tempatan melaporkan ramai penuntut IPT terpaksa ‘ikat perut’ gara-gara tidak cukup wang belanja ekoran kenaikan harga barangan dan makanan.

Ditambah pula, pemansuhan sebanyak RM700 juta subsidi untuk harga siling ayam mentah, minyak masak dan telur dilihat menyumbang pelbagai kesan kepada corak perbelanjaan masyarakat, khususnya golongan mahasiswa.

Sudahlah pelajar IPT dibebankan dengan masalah kewangan yang sedia ada, ditambah pula dengan kenaikan harga barang yang kini ditentukan oleh pasaran semasa.

Kekangan kewangan yang dihadapi oleh golongan tersebut telah memaksa mereka untuk mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap ber­puasa, bergantung kepada roti dan mi segera.

Ini tidak termasuk lagi dengan komitmen mereka untuk menjelaskan yuran pengajian, asrama, bayaran sewa rumah atau bilik secara bulanan serta penggunaan minyak petrol untuk ken­deraan berulang ke pusat pengajian.

Sehubungan itu, menjadi satu keperluan untuk isu ini diberi perhatian oleh kerajaan terutamanya ketika pembentangan Bajet 2023 akan datang.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed mencadangkan agar bantuan e-dompet disediakan buat penuntut IPT daripada golongan B40 dan M40 sebanyak RM100 hingga RM200 sebulan.

Menurutnya, bantuan tersebut perlu disalurkan setiap bulan sepanjang tempoh pengajian mereka di IPT masing-masing.

“Di peringkat awal, bantuan e-dompet ini boleh dimulakan agihan kepada penuntut di IPTA, kemudian diperluaskan buat semua golongan mahasiswa.

“Bantuan yang dikreditkan dalam e-dompet ini dicadangkan hanya digunakan untuk membeli makanan di dalam kampus. Kampus juga boleh bersedia untuk pelaksanaan pembayaran pembelian makanan pelajar secara e-dompet,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain daripada bantuan makanan, Anuar Shah juga meletakkan satu harapan untuk kerajaan menyediakan bantuan sekali setahun secara e-dompet untuk mahasiswa IPT membeli buku yang berkaitan dengan pengajian mereka.

Walaupun sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memper­kenalkan Menu Keluarga Malaysia serendah RM3.50 melibatkan restoran-restoran koperasi dan kafeteria di IPT serta premis penjualan makanan, namun bantuan kepada golongan tersebut perlu kekal disalurkan menerusi Bajet 2023 ini.

Ia bertujuan menjaga kebajikan golongan mahasiswa agar mereka tidak terus terbeban ke­rana situasi tersebut boleh mengganggu proses pembelajaran dan kualiti akademik disebabkan tertekan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI