fbpx

Angkat berat sangkut doping, PABM ‘tinggalkan’ Sukma MSN 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATLET dari dua negeri bagi sukan angkat berat telah dikesan gagal ujian doping dan menjadi perdebatan sama ada acara itu akan terus dilangsungkan atau sebaliknya selepas PABM bertindak 'meninggalkan' temasya Sukma MSN 2022. - Gambar Hiasan

DUA atlet dari dua negeri disahkan gagal dalam ujian doping, sekali gus menjadi punca penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 bagi acara sukan angkat berat ditangguhkan secara tiba-tiba hari ini.

Lebih mengejutkan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) turut mengumumkan ‘meninggalkan’ Sukma 2022 selepas tindakan mereka untuk menggantung kontinjen yang terpalit dalam isu doping mendapat bantahan.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat mengesahkan perkara tersebut selepas masalah doping sekali lagi mencemarkan imej sukan angkat berat selepas edisi ke-19 di Perak membabitkan tiga atlet yang gagal saringan ujian doping.

“Saya mengesahkan bahawa dua atlet dari dua buah negeri gagal dalam ujian doping. Pendirian PABM jelas kerana dalam mesyuarat khas minggu lepas, semua atlet yang gagal dalam ujian doping akan menyebabkan penglibatan kontinjen negeri terbabit dalam sukan angkat berat digantung.

“Perkara tersebut jelas dan turut mendapat sokongan sebulat suara oleh semua pihak. Bagi PABM ini satu keputusan tepat bagi menjamin masa depan sukan ini di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.

“Tujuan PABM supaya tiada lagi atlet angkat berat terjebak dengan penyalahgunaan bahan terlarang. Kita tidak mahu pada akhirnya PABM yang menjadi mangsa dipersalahkan.

“Pada mesyuarat bersama pengarah kejohanan, jawatankuasa tertinggi tidak melihat PABM sebagai rakan kongsi yang baik dari segi teknikal malah peranan PABM juga tidak diperlukan.

“Ini adalah pilihan terbaik dan PABM tidak lagi terlibat dalam Sukma 2022. Ia juga adalah hak MSN sendiri untuk meneruskannya. Mereka (MSN) yang membuat keputusan. PABM selaku badan induk sukan ini bertanggungjawab dan daripada pihak kita telah selesai,” kata Ayub semalam.

Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma ke-20 memutuskan saingan sukan angkat berat ditunda sehari kepada 20 September berbanding jadual asal yang bermula hari ini.

Menerusi kenyataan ringkas lewat malam semalam, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan dihadiri semua wakil Majlis Sukan Negeri.

Pada temasya dwitahunan itu, seramai 126 atlet angkat berat dari 14 negeri akan menyertai temasya sukan itu yang mempertandingkan 16 kategori. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI