SUNGAI PETANI – Keluarga pelajar berusia 15 tahun yang maut kemalangan di Kilometer 102.2, Lebuh Raya Utara-Selatan semalam meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana ia mengguris hati keluarga mereka.
Abang sulung mangsa, Mohamad Najeb Hakim Roslan, 23, berkata, kejadian yang menimpa adiknya itu berlaku semasa remaja itu dalam perjalanan menghantar seorang kawannya di Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Ketika kejadian, motosikal EX5 adik kehabisan minyak dan sedang ditunda sebuah motosikal milik rakannya.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian sebuah motosikal lain didakwa telah melanggar EX5 dinaiki adik menyebabkannya hilang kawalan dan merempuh motosikal ditunggang rakannya yang lain,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini semalam.

Kata Mohamad Najeb, dia mendapat tahu kejadian itu daripada salah seorang rakan adiknya yang sedang mendapat rawatan di HSAH akibat cedera dalam kejadian itu.
Jelasnya, adiknya sebelum keluar daripada rumah mereka di Kampung Kota Bukit pukul 1 pagi tadi telah meminta kebenaran ibu dan bapanya selain dia juga maklum mengenai lokasi adiknya itu.
“Dia menunggang motosikal EX5 dibeli bapa untuk memudahkannya berulang alik ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeneri berdekatan rumah kami,” katanya.
Menurut Mohamad Najeb, mereka sekeluarga kesal mengenai persepsi buruk yang diperkatakan orang ramai berhubung kemalangan berkenaan.
“Saya berharap orang ramai menghentikan penyebaran berita tidak benar yang membabitkan adik saya di laman media sosial kerana ia boleh mengguris perasaan kami sekeluarga,” katanya yang bekerja sebagai operator sebuah kilang di Gurun.
Kosmo! melaporkan, seorang pelajar tingkatan tiga dan pemuda berusia 22 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka berlanggar sesama sendiri dalam kemalangan di Kilometer 102.2, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.35 pagi itu, mangsa yang maut berusia 15 dan 22 tahun akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala lima lain cedera dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini. -KOSMO! ONLINE