PARA peminat sukan olahraga tanah air perlu menunggu sehingga tahun depan untuk melihat Muhammad Azeem Mohd. Fahmi berpeluang mencatat masa bawah 10 saat (s) bagi acara 100 meter (m).
Ini kerana, Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur adalah perlumbaan 100m terakhir buat jaguh pecut sensasi berusia 18 tahun dari Ipoh, Perak itu untuk kalendar tahun ini.
Pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan masa 10.09s itu akan memberikan fokus kepada satu lagi acaranya iaitu 200m bermula aksi separuh akhir Sukma 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.
“Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dan sudah capai sasaran untuk 100m tahun ini. Tiada lagi perlumbaan 100m buat saya untuk tahun ini.
“Sekarang saya nak cuba sasarkan berlari bawah 21.00s untuk acara 200m pada Ahad (hari ini), mungkin menghampiri rekod peribadi (20.83s).
“Ini tahun pertama sukan kembali rancak dan ia adalah musim yang cemerlang buat saya. Selepas Sukma, saya ada satu lagi kejohanan di Jepun (Jelajah Continental) dalam acara 200m pada 1 Oktober nanti,” kata Azeem.
Azeem muncul raja pecut Sukma 2022 selepas menjuarai 100m kelmarin dengan catatan 10.25s, sekali gus memberi petanda dia mampu mengulangi kejayaan sama untuk acara 200m hari ini.
Bagaimanapun, Azeem enggan memandang rendah kemampuan pencabar-pencabarnya seperti pemenang pingat perak dan gangsa 100m Sukma 2022 iaitu Muhammad Arsyad Md. Saat (Johor) serta Muhammad Haiqal Hanafi (Negeri Sembilan).
“Saya akan lebih berhati-hati dengan pesaing saya sekarang seperti Haiqal, Arsyad, Zulfiqar Ismail (Terengganu) dan lain-lain. Mereka akan sentiasa memberikan tentangan sengit kepada saya,” jelasnya.