fbpx

Skuad B-19 azam lakar kejutan besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD negara bakal berdepan cabaran hebat apabila bakal turun berdepan Korea Selatan pada perlawanan terakhir Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia B-20 2023 hari ini. – FB MONGOLIA FOOTBALL FEDERATION

SKUAD bawah 19 (B-19) kebangsaan menganggap cabaran untuk melakar kejutan ke atas Korea Selatan pada perlawanan terakhir Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia B-20 2023 hari ini bukanlah misi mustahil.

Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Hassan Sazali Waras mahu barisan pemain kekal positif dan optimis dengan peluang serta kemampuan yang ada dalam memastikan keputusan terbaik dapat dilakar pada aksi di Stadium MFF, Ulaanbatar nanti.

Kata Hassan, moral barisan pemain semakin baik khususnya selepas melakar kemenangan menewaskan Sri Lanka 3-0 kelmarin dengan tumpuan kini ter­arah kepada aksi bertemu Korea Selatan.

“Saya lihat peluang untuk pasukan melakar kejutan ke atas Korea Selatan tetap ada meskipun di atas kertas, mereka jelas memiliki barisan pemain yang berkualiti.

“Jika ditanya mengenai sasaran, sudah tentulah saya mahu pasukan melakar kemenangan kerana hanya itu sahaja yang boleh mengesahkan kelayakan automatik pasukan ke pentas Piala Asia B-20 tahun depan.

“Andai seri, mungkin perlu melihat kedudukan kumpulan di peringkat kelayakan yang lain kerana hanya lima naib juara terbaik yang akan diberikan slot ke pusingan akhir.

“Secara keseluruhan, saya kekal positif dan begitu juga de­ngan pemain yang begitu bersemangat untuk mengharungi aksi terakhir itu nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Mengulas lanjut, Hassan yang juga pengendali skuad Projek FAM-MSN mengakui sudah merencanakan strategi terbaik dalam usaha mengekang jentera serangan skuad Taeguk Warriors daripada merobek gawang pasukan negara.

“Saya ada lihat aksi Korea Selatan pada dua perlawanan pertama yang mereka merekodkan kemenangan besar ke atas Sri Lanka (6-0) dan Mongolia (7-0).

“Namun, saya ada taktikal yang sudah diatur dan dalam masa yang sama berharap pemain kurang melakukan kesilapan dan memanfaatkan pe­luang sebaik mungkin,” katanya.

Kali terakhir skuad muda Harimau Malaya layak ke kejohanan berprestij itu adalah pada edisi 2018 di Indonesia dengan pasukan terkandas di peringkat kumpulan.

Saingan Piala Asia B-20 akan dilangsungkan di Uzbekistan pada 1 hingga 18 Mac tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI