SUBANG – Atlet menembak Pulau Pinang, Shaveena Mei Vejayan memasang impian untuk ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 selepas meraih pingat emas dalam acara 10m air rifle wanita pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Lapang Sasar Kebangsaan di Subang sebentar tadi.
Pada saingan tersebut, atlet berusia 20 tahun yang juga penembak kebangsaan membidik 243.7 mata sekali gus mengatasi atlet Wilayah Persekutuan, Nur Izazi Rosli (243.5) dan atlet Perak, Nurul Athirah Huzaimi selepas melakukan 219.2 mata.
Shaveena mengakui kemenangan di Sukma menjadi kenangan terindah kerana ia adalah penampilan terakhirnya di Sukma sebelum memberi tumpuan kejohanan di peringkat antarabangsa.
“Saya rasa gembira dan bersyukur kerana mempunyai peluang seperti ini selepas berkerja keras untuk menjelmakan pingat emas.
“Kemenangan ini juga adalah paling bermakna sebab ini Sukma terakhir saya. Jadi saya perlu memberikan terbaik untuk membantu pasukan Pulau Pinang meraih emas.
“Apapun, saingan pentas final sebenar tadi sangat sengit terutama saya terpaksa bersaing dengan penembak kebangsaan yang juga rakan saya iaitu Nur Izazi. Tetapi pada hari ini saya rasa lebih yakin pada aksi final dan membantu saya untuk muncul juara.
“Selepas berakhir Sukma ini saya akan berusaha lebih gigih dan pastinya impian saya adalah untuk ke Olimpik Paris. Jadi, doakan saya dapat menjejak kaki ke pentas Olimpik,” katanya yang akan memberi tumpuan dalam acara 50m rifle prone esok.
Sebelum ini, dua pemanah negara Nur Suryani Mohamed Taibi dan Jonathan Wong Guanjie masing-masing pernah beraksi di Sukan Olimpik. Nur Suryani mewakili negara di Olimpik London (2012) dan Tokyo 2020, manakala Jonathan pada edisi 2016 di Rio de Janeiro. – KOSMO! ONLINE.